Nik Aziz, Harun Din kekal Mursyidul Am dan timbalan

30 March 2010 · 0 comments

Ditulis oleh Harakahdaily
MONDAY, 29 MARCH 2010 04:46

KUALA LUMPUR, 29 Mac - Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (PIC) dan Datuk Dr Haron Din mengekalkan jawatan mereka masing-masing sebagai Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am PAS untuk tempoh lima tahun dari 2010 hingga 2015.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat kedua Majlis Syura untuk sesi ini yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, pemilihan semula Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana kelayakannya dan tidak mahu Mursyidul Am PAS itu bersara dari perjuangan.

"Ramai yang layak, tetapi kita anggap beliau yang lebih layak dari orang lain kerana dalam budaya perjuangan Islam tiada persaraan dalam perjuangan.

"Kita tidak mahu tok guru kita bersara dari perjuangan," katanya pada sidang media memaklumkan keputusan tersebut di parlimen hari ini.

Turut serta pada sidang media tersebut, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Mengulas lanjut beliau berkata, keuzuran Tuan Guru Nik Aziz bukan masalah besar kerana beliau akan dibantu ahli mesyuarat yang lain.

"Keuzuran beliau boleh dibantu ahli-ahli yang lain kerana keputusan majlis syura bukan individualistik tetapi dibuat secara kolektif," tambahnya lagi.

Selain mereka berdua, turut dilantik ke dalam Majlis Syura dalam mesyuarat mereka yang pertama adalah Datuk Seri Azizan Razak, Ustaz Hashim Jasin dan Ustaz Hassan Syukri.

Kelima-lima mereka dilantik sebagai ahli Majlis Syura dalam mesyuarat pertama mereka minggu lepas. Mesyuarat hari ini membuat perlantikan untuk dua jawatan utama iaitu Mursyidul Am dan timbalannya.

Selain mereka ahli Majlis Syura adalah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (mewakili Jawatankuasa PAS Pusat).

Mewakili Dewan Ulamak adalah Datuk Harun Taib, Datuk Ahmad Yaakub, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh, mewakili Dewan Pemuda Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan Ustaz Zaharudin Mohamad dan dua wakil Dewan Muslimat yang nama mereka belum diperolehi.

Ditanya berhubung kenyataan Tuan Guru Nik Aziz semalam yang bersedia berundur, Abdul Hadi berkata ianya menunjukkan sikapnya yang tinggi akhlaknya sesuai dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya untuk tidak meminta jawatan.

"Itu satu moral yang tinggi yang sangat kami hargai. Memang kita dalam Islam diajar tidak meminta jawatan, tidak berebut jawatan dan Islam mengajar orang yang tidak meminta jawatan itu yang layak kita lantik," jelasnya lagi.

Sesi baru Majlis Syura bermula dengan mesyuarat pertama mereka minggu lalu. Dalam mesyuarat di kalangan 12 anggota yang telah dilantik oleh AJK PAS Pusat (4), Dewan Ulama (4), Dewan Pemuda (2) dan Dewan Muslimat (2) itu, lima anggota tambahan dilantik.

Majlis Syura adalah badan tertinggi dalam PAS. Mengikut pindaan terbaru Perlembagaan PAS, anggotanya menjadi 17 orang berbanding 12 sebelum ini dan tempoh sepenggal dipanjangkan dari tiga tahun ke lima tahun.


Baca seterusnya...

Demo: PAS ucap tahniah kepada Orang Asli

29 March 2010 · 0 comments

Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad Foto: Malaysiakini
FRIDAY, 19 MARCH 2010 01:44

Parti Islam Semalaysia mengucap tahniah kepada orang asli yang mengadakan tunjuk perasaan di Putrajaya pada 18 Mac 2010 kerana menuntut hak mereka yang dicabul. Penghormatan yang patut diberikan kepada mereka kerana keberanian dan boleh mengumpulkan seramai dua ribu orang adalah merupakan suatu perkara yang menakjubkan semua pihak.

Perhimpunan tersebut anjuran bersama Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri. Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli.

Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Nampaknya orang asli lebih sensitif dalam mempertahankan hak mereka yang dicabul oleh kerajaaan BN. Walaupun Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan hari ini berkata: "Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan.".

Kejayaan orang asli yang mengumpulkan hampir 2 ribu orang ke Putrajaya merupakan satu perkembangan yang baik. Ini bermakna kesedaran politik yang dilaungkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat selama ini sudah mendasari hingga ke akar umbi, seperti orang asli sudah berani menuntut hak mereka melalui jalanraya. Selama ini orang asli hanya menjadi pemerhati dari jauh dan dilihat oleh pemimpin BN sentiasa menyokong tindakan kerajaan. Hari ini mereka telah melakarkan sejarah kebangkitan rakyat dan sebagai mercu tanda perubahan politik pada masa akan datang insyaAllah.

Ustaz Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


Baca seterusnya...

Katak rebus

28 March 2010 · 0 comments

Jika katak itu disimbah dengan air panas, mungkin cepatnya ia melompat pergi mencari dingin. Katak itu akan segera melarikan diri kerana terkejut dengan perubahan suhu yang memudaratkannya.


Tetapi katak yang satu ini bersenang lenang.


Disangkanya kolam sekangkang katak itu adalah tasik terindah, termewah dan terbaik. Kerana katak yang satu ini hanya kenal kolam sekangkang itu, lantaran tempurung yang lama menjadi langitnya jua. Sedangkan katak itu tidak sedar, bahawa tasik impiannya itu adalah air rebusan di dalam periuk.

“Panas pula air sekarang ini”, keluh si katak yang terasa pijar.

“Oh, semua tasik impian hari ini suam dan panas. Ia fenomena sejagat”, kata suara ghaib di balik dinding.

“Aku yang harus bertahan. Panas ini tiada jalan keluarnya. Lagi pun segalanya masih ada”, jawab si katak kepada dirinya sendiri. Lidah panjangnya asyik mengejar lalat habuan tembolok.
“Tenanglah katak. Bukan air tasik impianmu yang panas. Ia fenomena sejagat”, suara ghaib itu terus datang. Menyumbat telinga, menyumbat mata, menyumbat hati… kerana sumbat menyumbat memang kerja *al-Mala’.

MATI ATAU BUNUH DIRI?

Akhirnya katak kembung yang sepatutnya cekap melompat ke sana sini, MATI KATAK.
Mati dalam rebusan yang panas sedikit demi sedikit, selari dengan sangka baiknya yang sedikit demi sedikit percaya, bahawa ia fenomena sejagat.

Mati katak… mati atau bunuh diri?

Anda mampu menjawabnya dengan pilihan pada HARI MENGUNDI!



Baca seterusnya...

'Orang Muda Geng Kita': Pemuda PAS cuba tangani masalah anak muda

27 March 2010 · 0 comments

Ditulis oleh Harakahdaily
MONDAY, 15 MARCH 2010 06:23

Gambar: Azman (berkopiah) bersalaman dengan peserta pertandingan.

AMPANG, 15 Mac - Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, Pemuda PAS akan berusaha sehingga dapat menjiwai anak-anak muda dan cuba menangani masalah yang mereka hadapi mengikut kemampuan yang ada.

"Ukhuwah dan persahabatan antara pemuda PAS dan anak-anak muda di luar PAS mesti dihidupkan agar kita dapat tolong-menolong ke arah kebaikan" katanya ketika merasmikan kempen 'Orang Muda Geng Kita' peringkat Wilayah Persekutuan dan pertandingan bowling Piala Ketua Pemuda, petang semalam.

Menurut beliau, peranan PAS bukan hanya sekadar berpolitik atau bercakap tentang tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan.

"Peranan PAS adalah menyeluruh merangkumi aspek sosial ekonomi dan politik sesuai dengan sifat Islam yang syumul.

"Sebagai contoh Islam menasihati supaya umatnya beriadah dan menjaga kesihatan, maka kita mengadakan aktiviti sukan seperti bowling pada hari ini," tambahnya.

Dengan slogan 'Orang Muda Geng Kita' Pemuda PAS terus berusaha mendekati anak-anak muda dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan bowling yang telah diadakan di Ampang Point petang semalam.

Pasukan Green Tea menjuarai pertandingan bowling itu dengan 1,975 jatuhan pin mengalahkan pasukan MIG di tempat kedua (1,738) dan Kampung Tasek Tambahan di tempat ketiga (1,732).

Saiful Bahari menjadi pemain terbaik kejohanan dengan 602 jatuhan pin.

Hadiah telah disampaikan oleh Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan.


Baca seterusnya...

Kenapa rakyat perlu bosan dengan Umno

· 0 comments

Ditulis oleh Salbiah Abdul Wahab
FRIDAY, 12 MARCH 2010 02:58

Kes penderaan kanak-kanak yang berlaku akhir-akhir ini menjadi-jadi. Selepas satu kejadian dilaporkan, terdengar satu lagi kejadian. Ia seperti menjadi satu ‘pandemic’ dan trend yang boleh dianggarkan berlaku.

Beberapa cadangan dan pendekatan telah dikemukakan bagi mengatasi gejala penderaan kanak-kanak. Segala saluran dan medium digunakan bagi menunjukkan keseriusan gejala ini hendak dibenteras. Kes penderaan ini telah mencapai tahap pengetahuan maksima, iaitu dibawa ke pengetahuan Kementerian Wanita, Polis, mahkamah malahan akhbar dan media elektronik telah memainkan peranan.

Bermakna umum telah mendapat maklumat terperinci kes-kes kejadian penderaan ke atas kanak-kanak. Akhbar dan televisyen telah menceritakan dan mendedahkan gejala ini. Ditambah dengan arahan baru oleh Kementerian dan pihak berkuasa polis yang mahu dilaporkan kejadian yang serupa sekiranya anda mempunyai maklumat kejadian kes-kes penderaan.

Tetapi, kalau polis tahu, apa polis boleh buat? Mengambil contoh, dalam kejadian Makan Malam Menyambut Ulang Tahun ke-2 Pakatan Rakyat Peringkat Wilayah Persekutuan, bilangan polis yang ramai telah dikerah bertugas di tempat makan malam.

Polis telah mengganggu majlis aman penyokong Pakatan Rakyat yang berhimpun di premis persendirian dan polis juga yang telah memukul beberapa pemuda yang berada di majlis tersebut. Jadi, ini adalah kes penderaan oleh polis.

Kerajaan Umno BN juga melakukan beberapa penderaan ke atas rakyat. Kerajaan Umno BN telah menjalankan dan akan mengumumkan beberapa lagi perkara-perkara penderaan ke atas rakyat, kerana memenuhi slogan 'rakyat didahulukan' dalam merasai kesempitan dan penganiayaan.

Dengan menamatkan bantuan kepada sekolah-sekolah Agama Rakyat adalah satu bentuk penderaan kerajaan kepada rakyat. Menyekat bantuan yang sepatutnya diterima oleh negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat adalah juga penderaan kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri. Yang paling jelas lagi ialah sikap Kerajaan Pusat yang tidak mahu membayar royalti minyak kepada rakyat Kelantan adalah menifestasi penderaan kerajaan Umno BNBn kepada rakyat terbanyak.

Apa yang boleh kita setujui apabila Perdana Menteri Malaysia menyatakan ‘kejadian penderaan ke atas kanak-kanak tanda institusi rumah-tangga rapuh’. Benar ini adalah kesan dari institusi rumah tangga yang rapuh dan penyakit sosial yang ‘pandemic’ dan meruncing seperti barah.

Tetapi kejadian seperti ini ada hubung kaitnya dengan kerajaan. Kehidupan dan tahap sosio-ekonomi rakyat adalah hasil daripada rakyat yang tidak mendapat cukup pembelaan oleh kerajaan. Dikala hendak mencari makan sesuap nasi pun susah bagi golongan yang berpendapatan rendah, ditambah dengan pelbagai cukai yang akan dikenakan Kerajaan kepada rakyat, kesemua ini memberi dan menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Rasulullah saw pernah bersabda: ‘Rakyat mengikut agama pemimpin’. Apakah ini benar dalam kes penderaan kanak-kanak yang dibunah, rakyat mengikut corak pemikiran dan apa yang dilakukan oleh pemimpin?

Memang bukan jalan penyelesaiannya mendera, menyeksa, menyakiti dan akhirnya membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa. Tetapi masalah kehidupan yang serba tidak mencukupi boleh mengheret kepada kehidupan tidak tenang dan menyebabkan fikiran terganggu dan lebih teruk lagi mengakibatkan gejala mental yang serius.

Rakyat juga telah bosan dengan pemimpin kerajaan yang turun padang bertemu dan bersalaman dengan rakyat, kemudian dihidangkan makan nasi kawah. Pegang cangkul 3-saat untuk dirakam oleh juru kamera kemudian disiarkan di dalam surat khabar atau televisyen.

Tambah bosan lagi, bila berucap, mengumumkan akan memberi peruntukan yang besar kepada satu-satu kampung. Bertepuk-bersorak orang kampung akan dapat wang besar yang diberi oleh pemimpin UMNO-BN.

Tapi, bila nak dapatnya? Tunggulah pilihanraya, nanti akan diumumkan lagi. Bila!!? Pemimpin ini akan berkata, ‘Itu janji pilihanraya!’

.Mungkin ramai juga yang tidak bosan dengan pemimpin yang sedemikian. Malahan memuji dan mengikut sikap pemimpin. Kerana pemimpin seperti itu adalah buktinya ‘Pemimpin berjiwa rakyat’. Maka sebab itu pemimpin disanjung-sanjung…manalah tahu boleh dapat projek besar. Kerana pemimpin yang berjiwa rakyat akan bersaing dengan rakyat untuk mendapat projek besar, tapi ‘of course’ pemimpinlah dapat.

Hadith Rasulullah saw bersabda mengenai pemimpin: Sebaik-baik pemimpin adalah kamu mengasihi mereka dan mereka (pemimpin) mengasihi kamu. Kamu berdo’a untuk mereka dan mereka mendoakan kamu, dan begitulah sebaliknya.

Adakah ciri ini ada pada pemimpin Umno BN atau ciri ini sesuai untuk kerajaan Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat? Diharap rakyat Malaysia boleh memikirkan hal ini.

Maka, tanggungjawab kerajaan Umno BN yang memerintah adalah memikirkan kebajikan rakyat secara holistik. Kerajaan Umno/Bn mesti memikirkan kebajikan rakyat. Sehingga kini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak masih belum mengumumkan apa-apa hadiah istimewa kepada rakyat terbanyak. Setakat yang berunsur ‘political mileage’ ada.

Berbanding dengan negeri Pakatan Rakyat yang hanya baru 2 tahun memerintah telah mampu mengumumkan beberapa kemudahan dan keistimewaan untuk rakyat di negeri Pakatan Rakyat. Bantuan kebajikan untuk rakyat terbanyak menjadi agenda Kerajaan Pakatan Rakyat.

Contohnya: air percuma sebanyak 20 meter padu untuk rakyat Selangor. Berbeza dengan Umno. menswastakan air dan kos ditanggung oleh rakyat.Maka sudah sampai masanya rakyat menukar kerajaan di negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan yang ada ini dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Tidak kira bila masanya, berlaku sahaja pilihanraya kecil atau pilihanraya umum, kotakan janji anda, pilihlah Kerajaan Pakatan Rakyat untuk kesejahteraan Malaysia dan rakyat seluruhnya.

* Salbiah Abdul Wahab adalah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat


Baca seterusnya...

Jangan takut dengar ceramah Pakatan Rakyat - Tuan Ibrahim

25 March 2010 · 0 comments

Ditulis oleh Harakahdaily
THURSDAY, 04 MARCH 2010 03:20

KUALA KRAU, 4 Mac - Rakyat di negara ini tidak perlu takut mendengar ceramah politik yang dianjurkan Pakatan Rakyat kerana fungsi parti politik adalah untuk membela rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Berucap pada ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau, di Felda Jengka 17, dekat sini, semalam, Tuan Ibrahim berkata rakyat perlu membebaskan diri mereka daripada resapan budaya Umno yang mahu rakyat terkongkong daripada mendapat maklumat secara bebas.

“Corak pentadbiran dan pengurusan pemerintahan Umno yang banyak menyeleweng menyebabkan negara kehilangan berbilion-bilion ringgit. Banyak isu yang belum selesai seperti isu PKFZ, kehilangan enjin jet, stadium runtuh, kapal selam yang tidak boleh menyelam.

“Penyelewengan ini cuba ditutup dengan mereka mencipta berbagai isu bagi mengalih pandangan dan tumpuan rakyat. Mereka cuba tutup, maka sebab itu rakyat kena hadir ceramah bagi mendapatkan maklumat yang tidak mampu didedahkan media. Rakyat termasuk orang Umno tak perlu takut hadir ceramah. Tak perlu takut pada orang politik kerana tugas orang politik untuk membela dan menjaga rakyat,” katanya.

Turut berceramah ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Sharil Azman dan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.


Baca seterusnya...

CERAMAH ISU SEMASA

23 March 2010 · 0 comments

DATANG BERAMAI-RAMAI...



Baca seterusnya...

Kempen Selamatkan Negara. Vol 6

· 0 comments



1. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [JPN] Datuk Alwi Ibrahim telah mendedahkan peningkatan Anak Luar Nikah [ALN] yang didaftarkan ke Jabatan Pendaftaran Negara: [ Berita Minggu : 21 Mac ]a] 2007 : 16,100 anak Luar nikahb] 2008 : 16,541 anak luar nikahc] 2009 : 17,303 anak luar nikah.

2. Datuk Alwi juga menyebut bahawa dalam tempoh 5 tahun terakhir Jabatan Pendaftaran Negara telah mencatatkan 74,723 anak luar nikah yang membabitkan orang melayu Islam .[ Fakta ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ]

3. Sepanjang tempoh yang sama [ 5 tahun ] , seramai 214,033 bayi luar nikah didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf termasuk kes anak yang tidak berbapa dari pelbagai bangsa dalam negara kita .

4. Fakta yang saya paparkan ini satu lagi episod kebinasaan dan kemusnahan yang sedang deras melanda negara . Membunuh sistem nilai dan memasung maruah ummah . Segalanya angkara nafsu yang tidak dipandu oleh wahyu . Hidup dalam satu sistem politik dan sosial yang terhindar dari petunjuk Allah swt dan pedoman sunnah Rasulullah saw.

5. Sistem pendidikan , perumahan , pembangunan , IT , media dan lainnya yang sangat jelas serta ketara tidak menepati syarat dan sistem Islam adalah antara penyumbang utama kepada keruntuhan moral dan akhlak . [ sebagai contoh ....]Pendidikan : Tidak menitik beratkan pentarbiyyah untuk melahirkan insan yang soleh dan bermoral . Nilai agama dan moral tidak menjadi asas utama dalam memburu kecemerlangan akdemik .Perumahan : Rumah murah 2 bilik tidak sesuai untuk rakyat kerana menyumbang kepada gejala sumbang mahram serta susun atur kawasan perumahan yang tidak islamik sebagai contoh kawasan perumahan yang tidak disediakan surau oleh pemajunya dan pusat pengajian agama tambahan serta kawalan akhlak dan moral selain warden yang menjaga keselamatan tetangga .Pembangunan : Hanya memburu keuntungan sehingga dalam satu daerah biarpun majoriti muslim masih dibenarkan kedai - kedai jualan arak dan kondom secara terbuka seperti seven eleven dan pertumbuhan kelab malam , karaoke , rumah urut yang tidak terkawal tumbuh bagai cendawan selepas hujan .

6. Seperkara lagi yang saya lihat tidak kurang juga pentingnya ialah kegagalan pihak berwajib menjalankan tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran [ an Nahyu a'nil mungkar ] . Seketika , nasib pelacur , mak nyah lebih baik dari penceramah agama dan pendakwah yang sering diburu kerana tiada tauliah . Demikian juga nasib kelab malam dan pusat hiburan yang mendapat cop "halal" oleh pihak berkuasa tempatan nyata lebih baik dari masjid dan surau yang tidak dibenarkan menganjur majlis - majlis ilmu .

7. Apa yang berlaku ialah al amrul bil mungkar wa nahyu a'nil makruf ! Khatib yang membaca khutbah tanpa tauliah dari jabatan agama meskipun mendapat ijazah dari universiti Islam senantiasa dalam resah dan gusar diburu oleh penguatkuasa agama berbanding rasa selamat dan selesanya mereka yang langsung tidak hadhir solat jumaat .

8. Setiap kali dipersoal , pihak penguatkuasa ini sering menggunakan hujjah arahan orang atas !Tentunya orang atasan ialah orang yang berkuasa iaitu kerajaan yang memerintah . Malang bagi sebuah kerajaan yang memiliki kuasa dan mandat rakyat tidak menggunakannya untuk membasmi maksiat dan mungkar tetapi sebaliknya menunjukkan sikap anti agama atau anti Islam . Islam yang mereka mahu ialah Islam yang boleh kompromi dengan maksiat dan mungkar .[ contoh : Masjid dibina tetapi Kelab Malam juga dibina . Musabaqah Al Quran dianjur tetapi Akademi Fantasia juga dianjur . Peluang pekerjaan disedia tetapi pusat - pusat judi juga disediakan dan banyak lagi contoh contoh lain .]

9. Bukan tidak tegur dan bukan juga tidak dinasihati , tetapi mereka sukar memahami . Kita telah menghantar memorundum , kita telah menegur dalam kunjungan hormat kita , kita juga sudah sebut dalam dialog , wacana ilmiah , debat , khutbah , kuliah , ceramah bahkan demonstrasi . Kita juga menegur mereka secara rasmi di dalam Parlimen , Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri tetapi semuanya tidak membuahkan hasil . Mereka hanya memekakkan telinga dan menggulung lidah .

10. Menjadi tanggungjawab setiap individu untuk bangkit berjuang bagi menyelamatkan negara dari kebinasaan dan kemusnahan ini dengan membuat desakan agar syariat Islam dilaksana dan didaulatkan . Ianya adalah satu desakan berasas setelah semua pihak menyaksikan kegagalan total sistem peraturan dan undang - undang ciptaan manusia .


Baca seterusnya...

Karnival Orang Muda Geng Kita

19 March 2010 · 0 comments

Datang jangan tak datang...



Baca seterusnya...

Kempen Selamatkan Negara. Vol 4

· 0 comments

Pahang Bakal Bankrap di bawah Kepimpinan UMNO dan BN

1. Kemakmuran negeri Pahang kini kini terganggu dan terancam teruk gara - gara kepimpinan kerajaan UMNO dan BN yang bukan sahaja tidak cekap mentadbir dan mengurus tetapi boros , rakus , tamak dan khianat terhadap rakyat dan hasil mahsul negeri .
2. Pengurusan kewangan negeri Pahang mengalami defisit 12 tahun berturut - turut . Belanjawan negeri untuk tahun 2010 yang dibentang pada bulan November tahun lepas menunjukkan angka defisit sebanyak RM 92,481,950.00 untuk tahun yang ke 12 berturut - turut . Ini sungguh memalukan bagi sebuah negeri seperti Pahang yang didakwa makmur dan maju dibawah kepimpinan UMNO dan BN .

3. Pahang antara negeri yang boros dalam pengurusan kewangan dan hasil mahsulnya . Lihat sahaja laporan Ketua Audit Negara , setiap kali laporan dibentang ada sahaja teguran diberikan kepada pengurusan kewangan negeri Pahang . Sebagai contoh " kos service kereta exco kerajaan negeri lebih mahal dari harga pembelian kereta tersebut "

4. Pahang sedang menanti hari untuk diisytiharkan bankrap . Setelah Astana Golf & Country Club disita , diikuti pula tuntutan saman bernilai RM 63 juta oleh syarikat Seruan Gemilang Makmur yang telahpun diarah bayar oleh mahkamah kini Pahang seperti jatuh ditimpa tangga apabila berdepan pula dengan saman dari dua buah syarikat lagi iaitu Spag'n Plantation Sdn. Bhd [ RM 209 juta ] dan Upayapada (M) Sdn Bhd [ RM 24 juta ] . Kesemua saman ini melibatkan kes pembalakan . [ Astana Golf & Country Club disita kerana kegagalan membayar tunggakan pinjaman berjumlah RM40 juta ] [ Syarikat Spg’n telah mebuat satu cadangan Projek Ladang Hutan atas tanah kerajaan seluas 3500 ekar di Mukim Penor. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan pada 16 Jun 2009. Syarikat telah membayar RM 185 325 untuk kos ukur dan penyediaan hak milik ladang. Syarikat tersebut mendakwa kerajaan negeri telah memberi pula projek berkenaan kepada syarikat lain.] [ Syarikat Upayapadu pula melibatkan konsesi pembalakan seluas 23 000 ekar dalam daerah Raub. Syariakt menjelaskan bayaran sebanyak RM 413 086.35 merangkumi deposit, penyediaan sempadan, pemprosesan lesen dan lain lain . Namun kerajaan negeri gagal mengeluarkan lesen ] [ Spag'n Plantation Sdn Bhd dan Upayapadu (M) Sdn Bhd turut menyaman Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana mengingkari janji . ]

5. Sebelumnya syarikat Asia Chart Sdn Bhd juga telah mengemukakan dua saman kepada kerajaan negeri Pahang yang bernilai hampir RM 200 juta berkait dakwaan ingkar janji dalam kes pembalakan .

6. Kerajaan negeri Pahang juga berhadapan dengan saman oleh penduduk Bukit Koman Raub berhubung projek perlombongan emas dan peneroka Lembah Klau .

7. Sementara hutang luar kerajaan negeri Pahang kini telah mencecah RM 2 bilion . [ Sekiranya Kerajaan tidak mempunyai dana untuk menanggung operasi pentadbiran negeri , tentu sahaja rakyat akan menjadi mangsa melalui kenaikan cukai tanah , cukai pintu , tarif air dan parking kereta . Lebih parah kalau kerajaan negeri tidak mampu membayar sub - kontraktor , ia akan membayarnya dengan menggunakan tanah dan aset negeri yang lain . Akhirnya rakyat juga menjadi mangsa .]

8. Pembendaharaan balak negeri semakin pupus ekoran kes kecurian balak yang berleluasa seperti yang berlaku di Hutan Simpan Lepar , Maran dan Tersang termasuklah kerakusan dan salah urus kerajaan negeri melibatkan hasil dan sumber utama negeri Pahang ini . Sebagai contoh saya bawakan dakwan Ahli Parlimen Kuantan Yb. Fauziah Salleh :

[ Saya nak tunjukkan peta, ini adalah kawasan yang telah diluluskan untuk pembalakan dalam tempoh setahun setengah di Pahang yang melibatkan dua hutan simpan," “Dia punya total ialah 42 ribu ekar atau 17 ribu hektar secara total tetapi ianya dipecahkan kepada kompartmen-kompartmen yang diluluskan kurang daripada 500 hektar maksudnya tidak perlu EIA. Dan mereka melanggar sistem tanpa membuat EIA [ Penilaian Kesan Alam Sekitar ] , tanpa kelulusan EXCO. Ia terlepas dari kerajaan negeri tetapi apabila kita petakan, ia kelihatan seperti ini,"katanya. Ujar Fuziah, tindakan tidak bertanggungjawab ini akan mengakibatkan hutan yang sepatutnya menjadi tempat tadahan air menjadi gondol dan menyebabkan kejadian banjir lumpur dan banjir kilat. Malah menurut Fuziah, sekiranya tiada kawalan yang sewajarnya dilakukan, bandar Kuantan yang kecil berbanding dengan kawasan pembalakan tersebut mungkin akan tenggelam akibat bencana alam yang tidak dijangka.]

9. Hanya pemimpin atau kepimpinan yang beriman dan bertaqwa serta perlaksanaan syariat Allah swt sahaja yang mampu mengembalikan semula kemakmuran negeri Pahang Darul Makmur ini . Firman Allah swt :

و لو أن أهل القرى آمنوا و اتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء و الأرض و لكن كذبوا فأخذناهم بما كانوا يكسبون

Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan.
Surah al A'araaf : 96

10. Justeru itu rakyat mesti bangit dan berjuang melakukan perubahan bersama agenda perjuangan Islam dengan menolak kerajaan UMNO dan BN yang telah menodai mandat rakyat sejak lebih 50 tahun lalu . Kini tiba masanya rakyat menghukum dan mendidik segala penyelewengan dan kerakusan kerajaan UMNO dan BN yang angkuh lantaran terlalu lama dan selesa memerintah sejak 50 tahun lalu .


Baca seterusnya...

Ahli Parlimen PAS sepakat terus laksana amanah rakyat

· 0 comments

Ditulis oleh Harakahdaily
TUESDAY, 02 MARCH 2010 03:54


KUALA LUMPUR, 2 Mac - Ahli-ahli Parlimen PAS dengan tegasnya menyatakan sepakat untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Satu kenyataan Sekretariat MP PAS yang dikeluarkan di sini, hari ini menyatakan mereka sedar bahawa rakyat mengundi mereka kerana mahu kepada perubahan dari suasana ketidakadilan, kezaliman, kemiskinan dan ketidaksamarataan hak-hak asasi kepada satu kerajaan berkebajikan dan bersih yang berasaskan prinsip-prinsip agama dan moral.

Oleh itu, mereka kesal dengan tindakan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang telah memilih untuk meninggalkan prinsip-prinsip murni perjuangan itu.

Mereka juga kekal yakin dengan perjuangan dan kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi usaha-usaha di kalangan masyarakat dan di Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 15 Mac ini.

Mereka turut menyeru kepada masyarakat untuk bersama-sama mereka menentang cadangan-cadangan baru kerajaan BN menaikkan harga petrol dan barang-barang keperluan lain dan memperkenalkan cukai baru seperti GST.

“Kami juga ingin menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar kenyataan itu.

Ahli Dewan Rakyat PAS terdiri daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang), Ustaz Nasharudin Mat Isa (Bachok), Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa), Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai), Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Puan Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmood (Kota Raja), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Ustaz Taib Azamuddin Md Taib (Baling), Dr Che Rosli Che Mat (Hulu Langat), Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu), Mohd Abdul Wahid Endut (Kuala Terengganu), Ustaz Muhammad Husin (Pasir Puteh), Khalid Samad (Shah Alam), Che Uda Che Nik (Sik), Ustaz Firdaus Jaafar (Jerai), Ustaz Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar), Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pendang).

Manakala ahli Dewan Negara terdiri daripada Senator Muhammad Yusof Husin (Kedah), Senator Ahmad Rosli Ibrahim (Kelantan), Senator Mumtaz Md Nawi (Kelantan)

Sumber: http://www.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2730:ahli-parlimen-pas-sepakat-terus-laksana-amanah-rakyat-&catid=1:terkini&Itemid=2


Baca seterusnya...

Pilihan raya bukan perang bersenjata - Presiden PAS

· 0 comments

Ditulis oleh Harakahdaily
MONDAY, 01 MARCH 2010 01:17


SEPANG, 28 Feb - Penyertaan PAS di dalam pilihan raya dengan mengajak semaksimum mungkin rakyat untuk menyokong perjuangan menegakkan kebenaran diterajui parti itu di negara ini sangat jauh berbeza dengan kaedah peperangan bersenjata.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan perjuangan PAS dalam pilihan raya menggunakan kaedah mengajak rakyat dalam jumlah ramai untuk mencapai kemenangan bagi melaksanakan tuntutan kemanusiaan sejagat.

Menurutnya, pilihan raya menggunakan pendekatan muwajahah silmiyah atau berhadapan secara aman yang diamalkan gerakan islah dan tajdid iaitu untuk pembaikan dan pembaharuan di seluruh dunia bagi menunaikan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.

Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan demikian ketika memberikan amanat dalam Majlis Lawatan Kerjanya ke Negeri Selangor, di sini pagi tadi yang turut disertai juga oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Turut berucap di dalam majlis separuh hari itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali, dengan kehadiran semua pimpinan dari 22 PAS kawasan dari seluruh negeri termasuk semua dewan; Ulamak, Pemuda dan Muslimat.

Lawatan kerja ke Selangor adalah yang kelapan dilakukan Datuk Seri Presiden ke seluruh negara dalam usaha mendengar sendiri untuk merangka persiapan parti di dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang bakal tiba pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Ketika menjawab persoalan peserta, Ustaz Abdul Hadi juga berkata, jika pilihan raya akan mencapai kemenangan apabila mempunyai penyokong dan mendapat jumlah undi yang besar, sebaliknya perang bersenjata bergantung kepada seramai mana jumlah musuh yang dapat dibunuh.

“Pilihan raya tidak seperti peperangan bersenjata yang semakin ramai membunuh musuh, semakin cepat untuk mencapai kemenangan,” tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Presiden PAS turut berkata, tugas gerakan islah dan tajdid bukan mengislamkan keluarga Muslim tetapi juga berperanan untuk mengIslamkan daulah namun semua itu mestilah diusahakan sehingga berjaya.

Dalan hal ini, beliau berkata, Allah SWT tidak akan memberikan kemenangan percuma kepada anggota gerakan Islam sebaliknya mereka mestilah bekerja untuk menang dan perlu diingatkan bahawa lebih mudah untuk menang daripada bekerja untuk mengisi kemenangan.

Satu perkara yang dilontarkan oleh Ustaz Abdul Hadi adalah satu perkataan hikmat yang menyatakan umat Islam tidak akan dapat dikalahkan jika mereka mempunyai jumlah dua belas ribu yang mempunyai sifat-sifat peribadi Muslim seperti ikhlas, istiqamah dan sebagainya.

Petang ini, rombongan Presiden PAS menyertai majlis dialog yang diadakan di Kundang dan sebelah malam pula bersama masyarakat menyampaikan ceramah isu politik semasa di Tanjung Sepat.

Sumber: http://www.pas.org.my/http://www.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2724:pilihan-raya-bukan-perang-bersenjata-presiden-pas-&catid=1:terkini&Itemid=2


Baca seterusnya...

Nik Aziz: Keakraban PAS-bukan Islam tidak direka kerana politik

14 March 2010 · 0 comments

Ditulis oleh The Malaysian Insider
TUESDAY, 23 FEBRUARY 2010 01:47
Sumber: http://www.pas.org.my/


BACHOK, Feb 22 - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) memberitahu hubungan kerajaan PAS Kelantan dengan masyarakat berbilang kaum dan agama negeri ini bukan sesuatu yang dibuat-buat berdasarkan kepentingan politik sebagaimana diandaikan sesetengah pihak.

Keluhuran itu kata Mursyidul Am PAS itu, sebaliknya adalah anugerah Allah kepada orang yang sentiasa beristiqamah mendokong kesucian agamanya dalam apa jua aspek kehidupan berasaskan al-Quran dan hadis.

“Sejak 20 tahun PAS memerintah, seluruh rakyat Kelantan merasai keharmonian hubungan kaum yang mana tidak pernah berlaku sebarang pergolakan, pergeseran atau pertelingkahan sehingga menimbulkan perasaan dendam antara kaum.

“Bahkan sebelum pada itu lagi, ketika peristiwa 13 Mei, terjadi pertumpahan darah, tapi Kelantan sikit pun tidak berlaku sedemikian.

“Dan contoh terdekat, ketika negeri-negeri lain baru-baru ini kalut ribut bertelagah sampai berlakunya perbuatan ganas seperti membakar gereja tapi di Kelantan, aman,” katanya sewaktu meraikan sambutan Tahun Baru Cina PAS kawasan Bachok.

Majlis tersebut diadakan di pekarangan rumah bekas penghulu Tanpa Mukim Dun Jelawat mendiang Koh Soh Cheng di Jelawat dekat sini, petang ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Nik Aziz berkata tuduhan pihak tertentu kononnya tindakan PAS mengambil langkah berbaik-baik dengan kaum lain semata-mata bagi menjaga kepentingan politik di samping untuk menarik sokongan bukan Melayu adalah tuduhan orang yang dengki dengan kejayaan PAS yang mampu dijadikan model dalam konsep hubungan kaum.

Sementara itu Nasharudin memberitahu bahawa dalam konteks Islam masyarakat bukan Islam adalah saudara seinsan dengan masyarakat Islam.

“Ini adalah hakikat ajaran nabi Muhammad SAW.“Berdasarkan satu riwayat, sekumpulan orang sedang mengusung jenazah melintasi hadapan nabi, tiba-tiba nabi bangun menghormatinya. Lalu sahabat tanya baginda kenapa bangun sedangkan jenazah yang diusung itu adalah mayat orang Yahudi.

“Maka jawab Rasulullah semua penganut agama di atas muka bumi ini dituntut agar saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

“Demikian betapa luhurnya sifat Rasulullah dalam menjaga kepentingan atau kehormatan lain-lain agama,” tambah beliau.


Baca seterusnya...

Jangan robohkan Doktrin Wala' Taat dan Thiqah dalam PAS

12 March 2010 · 0 comments

Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
WEDNESDAY, 17 FEBRUARY 2010 04:38
Sumber: http://www.pas.org.my/


Wala’ , taat, thiqah adalah kalimah yang begitu popular dalam gerakan Islam seperti Pas. Doktrin inilah yang menjadikan asas dan tiang kepada perjuangan Pas sehingga mampu bertahan sampai hari ini. Setiap ahli Pas sudah berbai’ah ketika mengisi borang ahli Pas. Walaupun ada pemimpin yang cabut lari, ahli tetap bersama dengan roda putaran Pas. Mereka tetap dengan Pas, kerana mereka taat selagi pemimpin tidak menyeleweng dengan menyertai pihak musuh.

Mereka sudah diajar oleh baginda nabi SAW ketika melakukan Baiat al-Aqabah yang terkenal sebelum baginda berhijrah. Rasulullah s.a.w bersabda Maksudnya,

“Berbaiahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di atas cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah swt tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbaiah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu, jadi untuk kamu ialah balasan syurga”.

Hebat macam mana seorang pemimpin kalau ia telah keluar dari Pas ia tidak akan ditaati. Contoh yang boleh kita lihat Datuk Asri haji Muda orang yang hebat ketika itu dengan kelicikan berpolitik dan seorang pidato yang ulung di negara ini. Tetapi apabila beliau keluar daripada Pas maka ia menjadi melukut di tepi gantang.

Apakah kita hendak kata bodoh kepada ahli Pas yang wala’ kepada arahan pimpinan apabila calon yang bertanding di kawasan itu bukan calon Pas. Walaupun peringkat jentera parti bermatian mahu calon Pas yang bertanding. Tetapi kepimpinan tetap juga hendak meletakkan calon di kalangan rakan Pakatan Rakyat (dulunya Barisan Alternatif).

Walaupun peringkat akar umbi tahu bahawa kekuatan jentera dan ahli di tangan Pas. Tetapi apabila keputusan sudah dibuat maka ia dipatuhi oleh ahli Pas. Mereka bertungkus lumus untuk memastikan calon rakan menang. Semuanya ini adalah contoh wala dan thiqah kepada pemimpin.

Dalam berjamaah mana ada keputusan yang diputuskan oleh jamaah semuanya ahli bersetuju. Kalau hendak tunggu semuanya bersetuju maka tidak akan bertemu keputusan.

Sama seperti dalam syarikat mana ada keputusan yang 100% di setujui oleh ahli mesyuarat. Hatta di zaman nabi SAW pun apabila keputusan diputuskan oleh nabi SAW ada yang tidak berpuas hati contohnya, peristiwa pembahagian ghanimah selepas daripada peperangan Hunaian.

Rasulullah saw telah berkenan untuk menyerahkan ghanimah kepada orang Quraisy yang baru memeluk Islam. Tindakan ini telah menyebabkan kaum Ansar kurang senang dan ada antara mereka mengatakan;

“Semoga Allah mengampuni Rasul-Nya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita padahal pedang-pedang kita masih menitiskan darah mereka”

Rasulullah saw mendengar berita tersebut dan baginda mengumpul kaum Ansar dan bersabda;

“Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan aku?

Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita kemudian Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”Setiap kali Rasulullah saw bertanya, mereka menjawab,

“Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.

Rasulullah saw meneruskan,

“Hai kaum Ansar, apakah kerana kamu marah kerana tidak menerima sampah dunia yang tiada nilainya? Dengan “sampah” itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah saw? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa.”

Ini berlaku di zaman nabi SAW yang masih menjadi contoh yang hjidup pada ketika itu. Maka apalah sangat di zaman kini yang semakin jauih daripada contoh nabi SAW.

Kerana itulah perjuangan Pas memastikan keimanan sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjuangan Pas yang dapat membentuk jiwa dan roh yang hidup dengan sinar islam. Kerana dalam perjuangan yang panjang dan jauh pasti akan hanya mendatangkan keletihan bagi jiwa-jiwa yang tidur dan lemah, kosong daripada nilai keimanan.

Namun diyakini, jiwa yang hidup dan tersinar darinya pancaran Islam yang tidak putus pasti akan dapat mendatangkan kekuatan yang akan memastikan setiap ahli itu akan terus berada di dalam jalan juang yang panjang dan jauh ini. Dalam medan pertempuran kita menghadapi musuh, kita memerlukan persiapan dari pelbagai segi: bilangan yang cukup, keperluan yang lengkap dan kesediaan fizikal yang mantap. Namun jangan kita lupa akan persiapan dasar yang paling utama iaitu ketaqwaan dan keimanan.

Maka jangan kita abaikan bekalan paling utama dalam perjuangan kita iaitu tarbiyah ketuhanan. Kerana ini adalah pendorong yang dijanjikan jaminan kejayaan oleh Allah sebagaimana firmannya:

“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan” (An-Nahl:128)“Katakanlah: Semuanya (datang) adalah dari sisi Allah” (An-Nisaa:78)

Kalau pemimpin tidak ikhlas mereka akan lari, kerana Pas bukan sesuai untuk orang jahat. Jangan pula kita menuduh bahawa wala’, thiqah ini candu dalam Pas untuk membolehkan pemimpin melalikan pengikut.

Ini satu tuduhan yang berat. Perlu disedari kebanyakan ahli Pas ini mereka juga pemimpin, sekurang-kurangnya pemimpin di peringkat cawangan atau lajnah Kalau kita tidak taat nanti orang pula tidak taat kepada kita, akhirnya yang hancur ialah Pas, yang ketawa ialah umno BN Walaupun kita marah kepada pemimpin tetapi jangan kita merobohkan “Intitusi” wala’ taat dan thiqah.

Kita boleh melahirkan rasa tidak puas hati kepada jamaah di majlis yang sepatutnya, tetapi bukan dalam blog. Menceritakan keaiban parti dalam blog sama seperti mendedahkan keaiban suami isteri kepada musuh dan musuh akan adu domba supaya ia menceraikan isteri dan dia akan berkahwin dengan bekas jandanya.

Faedah Taat, wala’ dan thiqah -Ahli dapat menunai tugas mengikut arahan parti supaya tidak menyalahi strategi parti

* Pas mampu mengerahkan ahli untuk turun demo yang besar seperti BERSIH, Mansuh ISA, PPSMI* Pas mampu mengerahkan tenaga dalam setiap kali pilihanraya tanpa diupah - Supaya tidak timbul jamaah dalam jamaah.

* Dapat bertindak secara jama’i bukan individu. -Supaya kesannya terasa kepada jamaah dan masyarakat kerana ia dilakukan oleh parti.

* Seandainya berlaku kegagalan ia tanggung oleh jamaah bukan oleh individu.* Dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang lambat dan ada yang sederhana.

Sejarah membuktikan mereka tidak taat, wala’ dan thiqah kepada jamaah akhirnya menyertai umno. Teringatkah kita tokoh-tokoh seperti ustaz Mohd Nor Idris, ustaz Mustafa Taib, Wan Ismail Machang yang lantang mengkritik Pas dan pemimpin kerana bertahalluf dengan Parti Semangat 46 kerana parti ini adalah warisan umno. Akhirnya mereka bersama dengan umno apabila Pas berpisah dengan parti Semangat 46.

Adakah mampu Pas untuk melakukan demikian kalau kita cuba memusnahkan “institusi doktrin” yang sudah lama dibina. Umno gagal meroboh daripada luar, jangan pula kita sendiri yang hendak membantu merobohkan. Umno gagal hendak membina doktrin ini, mereka hanya boleh hidup dan bernafas dengan wang dan kuasa sahaja. Umno tidak ada wala’, taat dan thiqah, tetapi Pas ada perkara ini.


Baca seterusnya...

Pesuruh Jaya PAS Pahang

Pesuruh Jaya PAS Pahang
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Pemuda Pas Pahang

Ketua Pemuda Pas Pahang
Ustaz Suhaimi Saad

2 Tuan Guru

2 Tuan Guru
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat & Tuan Guru Hadi Awang

Blog Pimpinan

Sahabat

Arkib Blog

Mari Berbicara


ShoutMix chat widget